Saturday, January 7, 2012

MENCARI KEAJAIBAN MELALUI TILIKAN TARIKH

Saudara, dalam masyarakat yang menghadapi berbagai tekanan hidup, kesibukannya, persaingan antara satu sama lain, maka ramai yang akan cuba mencari ‘keajaiban’ untuk merentasi semua itu. Jika tidak dengan iman yang benar, maka sihir, merenung nasib dan berbagai khurafat yang lain akan timbul dan mengambil tempat. Akan ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan daripada keadaan yang seperti ini. Untuk soalan tersebut beberapa perkara berikut saya ingin tegaskan; 1. Islam adalah agama yang menentang semua unsur khurafat, tahyul dan apa sahaja kebatilan yang tidak berasaskan fakta dan dalil yang benar. Meramal masa depan tanpa asas-asas yang boleh dipercayai atau saintifik adalah merosakkan akal dan menimbulkan berbagai salah sangka dalam kehidupan manusia. Ia boleh memutuskan harapan, atau membuat jangkaan yang salah. Sedangkan kita dilarang untuk berputus asa dari rahmat Allah. Segala unsur yang membodohkan manusia, ditentang keras oleh ajaran Islam ini. 2. Kepercayaan bahawa tarikh tertentu membentuk watak tertentu tidak berasaskan apa-apa bukti ilmiah sama sekali. Demikian juga, kepercayaan rupa paras tertentu membawa perangai baik dan buruk yang tertentu tidak berasaskan bukti melainkan pra-sangka terhadap ciptaan Allah semata. Jika ada yang mendakwa bahawa tarikh lahir tertentu seperti angka 1 mempengaruhi nasib tertentu dengan disertakan bukti beberapa tokoh atau individu, itu bukanlah bukti yang ilmiah. Entah berapa puluh juta manusia memiliki angka 1 dalam tarikh lahirnya, adakah semua mereka demikian? Sudah pasti bagi setiap angka ada berbagai watak manusia. Jika mahu, kitaa boleh dapati berapa ramai yang memiliki angka selain 1 mempunyai ciri-ciri yang sama dengan 1 seperti yang para ‘penilik dan peramal’ nasib itu nyatakan. Dari mana mereka perolehi ciri-ciri tersebut? Ia sebenarnya, sebahagian warisan ahli-ahli nujum kono yang ditentang oleh Islam, atau mungkin rekaan baru mereka untuk melariskan ‘bisnes motivasi’. 3. Para penilik atau ahli nujum nasib seperti itu menipu manusia dengan mainan kata-kata. Jika apa yang mereka ramalkan itu kelihatan tidak tepat, mereka akan berkata ‘itu disebabkan awak belum lakukan itu dan ini’ atau ‘disebabkan awak belum tahu potensi awak’ dan seumpamanya. Mereka mempengaruhi psikologi sebahagian masyarakat. Orang-orang yang memandulkan akal, akan mempercayai tipu helah yang seperti itu.

No comments:

Post a Comment