Tuesday, January 17, 2012
8 GOLONGAN AHLI SUNNAH WAL JAMA'AH
Imam al-Baghdadi Rahimahullah
memperincikan lapan golongan yang termasuk
dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya
dari halaman 240-243):
• Golongan pertama,
mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam
bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian,
hukum-hukum wa’ad (khabar gembira) dan wa’id
(ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-
syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan.
Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam
(Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih
(menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan
bebas daripada fahaman ta’til (yang menafikan
sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas
daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah,
Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa
nafsu.
• Golongan kedua
ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang
cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis.
Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada
perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat
pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali
(membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana
sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman
Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan
melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak)
dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah
dengan makhluk), tanpa ta’til’ (menafikan sifat-sifat
Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-
murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza’i, al-Thauri,
Abu Hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-
sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat
Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir,
keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam
bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat
(tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan
mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa
daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.
• Golongan ketiga
ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang
berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah
yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka
berupaya membezakan antara sahih dan cacat
antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa
al-ta’dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak
memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa
daripada ahli bidaah dan nafsu yang
menyesatkan.
• Golongan keempat
ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-
topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada
atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil
(wafat175H), Abu ‘Amr bin al-’Ala (wafat 145),
Sibawaih (wafat 180H), al-Farra’ (wafat 207H), al-
Akhfash (wafat 215H), al-Asma’i, al-Mazini (wafat
236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh
imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah
atau Basrah, yang mana mereka tidak
mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu
daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau
Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung
ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah
ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun
kata-katanya adalah ‘hujah’ dalam ilmu bahasa
dan Nahu.
• Golongan kelima,
antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu
yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-
Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran,
penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab
Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan
ahli nafsu yang sesat.
• Golongan keenam
ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang
mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang
telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda
dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui
bahawa penglihatan, pendengaran dan hati
dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan
kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-
zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan
sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat.
Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu
secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis,
tanpa mereka ‘membeli’ pandangan yang
mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan
kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan
kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama
mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan
(menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab
mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada
Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan
kepada-Nya, tenang dengan apa yang
direzekikan-Nya.
• Golongan ketujuh
ialah, antaranya kaum yang terikat dengan
barisan hadapan peperangan dengan orang-
orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh
Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat
Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan
negara mereka dan menzahirkan pada barisan
hadapan mereka Mazhab ASWJ.
• Golongan kelapan
ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang
secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ,
bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli
hawa-nafsu yang sesat.
Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin
Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya,
ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai
Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan
yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ
hanya untuk golongannya sahaja, dengan
tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-
temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat,
berdoa beramai-ramai dan sebagainya.
Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-
perkara cabang (hal. 19): “Mereka (ASWJ) hanya
khilaf mengenai halal dan haram pada cabang
hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang
kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang
terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan
Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya
sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang
perumpamaan dan gangguan, serta yakin
terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya,
dan mengikut segala syariat Islam dan
menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-
Quran, dan mengharamkan segala yang diharam
oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa
oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari
kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua
Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga
Kauthar dan Timbangan.
Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu
dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran
perkara-perkara tersebut.
Banyak masa yang perlu digunakan untuk
memperbetulkan generasi muda yang
menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial.
Wallahu a’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment