Friday, February 24, 2012

MEMARTABATKAN MASJID SEBAGAI TUNJANG MENJANA INSAN MUTTAQIN.”

Oleh: AHMAD SUFFIAN Pendakwah Islamiah, Institut Al-Quran Malaysia (Iqra’) KENAPA MASJID LENGANG?...Kalau solat fardu satu saf susah dipenuhi, itu menunjukan keadaan yang kritikal. Bila ada kuliah agama, kehadiran pula tak seberapa…pasti ada yang tak kena. Inilah kemelut yang sedang mendepani masjid-masjid kita, lambang keIslaman kita. Masjid terpinggir…Penjanaan insan mulia masih tidak menjadi. Ramai dikalangan kita hanya Muslim pada nama sahaja. Kenapa sampai begitu sekali? Bukankah peranan utama sesebuat masjid itu adalah untuk menjana insan muttaqin sepertimana pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mengislahkan kaum Jahiliah kira-kira 1,400 tahun dahulu? Apakah peranan masjid-masjid hari ini tidak menepati matlamatnya itu? Dan kenapa masjid-masjid hari ini seolah-olah terpinggir oleh masyarakat setempat? ….Atau mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kewajiban seorang Muslim adalah mendirikan solat fardu pada waktunya, secara berjemaah dan dilakukan didalam masjid? Untuk mencari penyelesaian kepada kemelut ini, presiden Institut Al-Quran Malaysia (IQRA’) Ustaz Dr Muhammad Zain telah membuat pemantauan ke masjid-masjid dan surau-surau di serata tempat seluruh tanahair selama lima tahun. Selain pemerhatian beliau terhadap urusan pentadbiran masjid-masjid dan surau-surau demikian, Dr Muhammad Zain juga telah bermuzakarah dengan para pentadbir masjid/surau, ahli jawatankuasanya, ahli-ahli kariah setempat dan juga masyarakat tempatan untuk mendapat pandangan serta harapan mereka untuk menambahbaikkan “Rumah Allah SWT” ini. Kesemua pemerhatian dan perbincangan beliau berserta dengan ulasan-ulasan dan saranan-saranan bagi meningkatkan peranan masjid agar lebih progresif dan proaktif, telah dihimpunkan dalam satu manuskrip setebal 224 mukasurat yang kini diterbitkan oleh IQRA’ sebagai satu usaha fisabilillah untuk umat Islam keseluruhannya. Penulisan buku ini dibuat berdasarkan pemerhatian yang teliti dan menyeluruh mengenai isu ini dari semua sudut, merangkumi pelbagai faktor serta persepsi masyarakat mengenai peranan masjid. Langkah-langkah untuk menyelesaikan persoalan ini berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah dan perlu diamalkan dengan ikhlas dan tawadduk sebagai satu jihad kepada Allah SWT. Pandangan yang dikemukakan berdasarkan keyakinan terhadap keunggulan ajaran Islam untuk beroleh kejayaan dalam usaha dakwah yang terulung ini. Buku bertajuk “SEJADAH” ini bakal diterbitkan dalam masa terdekat ini untuk disebarkan kepada para pentadbir di semua masjid-masjid dan surau-surau bagi mentransformasikan lanskap dakwah Islamiah dinegara ini. Buat masa ini, Dr Muhammad Zain sedang dalam rangka lawatan “roadshow” keseluruh Negara untuk mempersembahkan buku “SEJADAH” ini kepada mufti-mufti negeri dan merangka kaedah terbaik bagi melaksanakan saranan-saranannya bagi meningkatkan imej masjid dan menghangatkan proses pengimarahannya. Ketika ditemui baru-baru ini, Mufti Kelantan Darul Naim Dato’ Mohamad Shukri Mohd berkata penerbitan buku "SEJADAH" bertepatan dengan keadaan hari ini di mana umat Islam semakin terpinggir dari masjid. Katanya, saranan-saranan yang terkandung di dalam buku yang dihasilkan oleh presiden INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA’) Dr Muhammad Zain ternyata “sesuatu yang unik” kerana menyentuh pelbagai isu berkaitan hubungan intim manusia dengan “Rumah Allah SWT”. “Kewajiban setiap Muslim adalah mendirikan solat fardu pada waktunya, secara berjemaah dan dilakukan di dalam masjid. Paling kurang pun, harus mendirikan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah di masjid kerana besar fadhilatNya.” Mohamad Shukri berkata hubungan manusia dengan masjid telah terjalin rapat sejak masjid pertama didirikan oleh Rasulullah SAW untuk mengislahkan kaum Jahiliah kira-kira 1,400 tahun dahulu. “Baginda telah menggunakan masjid yang sederhana itu bagi menyebarkan ajaran Islam dan berjaya menarik hati mereka kepada Islam selepas 25 tahun. “Namun, kurang pemahaman terhadap ajaran Islam dan amalannya di kalangan masyarakat kita telah menyebabkan masjid-masjid di negeri Kelantan tidak dikunjungi sepenuhnya pada setiap waktu fardu. “Muslimin dan Muslimat harus diberi kefahaman akan tanggungjawab mereka dalam mengimarahkan masjid”. Kiranya masjid dikunjungi setiap waktu dan ketika oleh penduduk setempat, Mohamad Shukri yakin bahawa masjid-masjid di negeri ini tidak perlu dikunci pagarnya seperti yang sedang dilakukan sekarang ini. Katanya, kebanyakan mereka yang berkunjung kemasjid ingin beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT sekalipun terdapat segelintir anasir-anasir jahat yang “mencemarkan kesuciannya dengan mencuri dari dalam masjid.” “Jika semua Muslim menghormati kesucian masjid ketika berada di dalamnya, kita tidak perlu gusar akan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. “Orang Islam juga disarankan agar bersangka baik sesama Muslimin Muslimat sekalian kerana ini adalah sunnah Nabi SAW.” Mohamad Shukri berkata ekoran dari pelbagai kejadian yang menimpa masjid-masjid disekitar Kelantan sejak setahun yang lalu, Pejabat Mufti berpendapat adalah wajar untuk mengunci pintu pagar masjid setiap hari selepas Isyak. Pintu pagar hanya dibuka kembali pada waktu Subuh nanti. “Masjid-masjid terutama yang terletak disekitar Kota Baru terpaksa dikawal dan dikunci setiap malam bagi mengelak daripada dipecah masuk atau dicerobohi anasir-anasir tertentu,” katanya. Ujarnya, sekiranya setiap orang menghormati kesucian "Rumah Allah SWT" ini, tidak perlulah dikuncikan pintu-pintu masuk ke masjid. "Dalam keadaan hari ini, jika dibiarkan pintu masjid terbuka luas sepanjang masa, akan hilanglah segala perabot, perhiasan dinding dan peralatan letrik didalam nya, terutama sekali tabung derma masjid yang terletak disekitar kawasannya. "Pernah sekali tu, sekumpulan kambing telah menjadikan kawasan mimbar masjid sebagai tempat bersemayam mereka..Sejak hari itu, saya telah mengarahkan supaya masjid-masjid semua dikunci rapi setiap hari selepas solat Isyak." Katanya, penghasilan buku "SEJADAH" amat bertepatan dengan keadaan masyarakat hari ini yang semakin berkurangan mengunjungi masjid untuk mendirikan solat fardu secara berjemaah. "Banyak masjid-masjid baru telah dibina oleh kerajaan untuk kemudahan masyarakat setempat dan bukan sebagai perhiasan sahaja. “Maka itu, umat Islam perlu diperingatkan akan kewajiban mereka mengimarahkan masjid-masjid di kariah mereka dan bukan hanya ketika solat Juma'at sahaja." Datuk Mohamad Shukri menyambut baik penghasilan buku "SEJADAH" oleh president INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (Iqra') Dr Muhammad Zain yang memaparkan saranan-saranannya bagi "Memartabatkan Masjid Sebagai Tunjang Menjana Insan Muttaqin". Katanya, usaha Dr Muhammad Zain harus dituruti oleh penulis-penulis tempatan kerana ini merupakan satu usaha dakwah yang berkesan dalam membimbing masyarakat kepada ajaran dan tuntutanNya yang sebenar. Mufti Perak Darul Ridhuan Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan penghasilan buku "SEJADAH" sebagai satu wadah untuk mengukuhkan akidah umat Islam di negeri itu. Katanya, Pejabat Mufti akan mengesyorkan buku itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri agar dapat disebarkan kesetiap masjid dan surau dinegeri Perak bagi "meningkatkan kecekapan dan memantapkan kaedah pengurusan masjid" agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke masjid pada setiap waktu fardu. Katanya, ramai umat Islam tidak faham kewajiban mereka untuk mengimarahkan masjid dan juga tidak faham akan peranan dan fungsi masjid itu sendiri. Tan Sri Harussani berkata peranan masjid yang utama adalah menjana insan muttaqin. "Namun, keadaan hari ini dimana masyarakat terlibat dalam pelbagai gejala sosial and maksiat telah menunjukkan kelemahan institusi masjid dalam menangani perkara-perkara tersebut. "Secara peribadi, saya akan mengemukakan buku "SEJADAH" ini kepada para ulama di negeri ini untuk dipertimbangkan sebagai satu buku panduan bagi pengurusan dan pentadbiran masjid-masjid dan surau-surau diseluruh negeri Perak ini, insyallah." Tan Sri Harussani memuji Dr Muhammad diatas semangatnya menghasilkan buku sebegitu rupa kerana "apa-apa usaha untuk memartabatkan agama kita harus disanjung dan disokong oleh semua umat Islam kerana ini adalah satu usaha dakwah Islamiah." Penceramah bebas Datuk Dr Mahmood Zuhdi berkata apa-apa usaha yg boleh meningkatkan pemahaman orang Melayu kepada ajaran Islam serta amalan-amalannya memang sesuatu yang harus digalakan. "Sebarang usaha untuk menerbitkan hasil karya tempatan berbentuk dakwah Islamiah harus dipertingkatkan agar lebih banyak tajuk-tajuk baru dapat disajikan kepada masyarakat umum." Katanya, melalui pembacaan pelbagai genre buku, masyarakat umum terutama orang Melayu dapat mendalami pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang keilmuan khususnya ajaran Islam dan tuntutanNya. "Ini akan membuka minda dan menjana pemikiran mereka serta mengalakan mereka agar mengubah diri menjadi lebih progresif dan proaktif." Dr Mahmood berkata usaha menerbitkan buku secara persendirian menggunakan sumber kewangan yang terhad, memanglah sukar tapi mempunyai hikmahNya. "Usaha secara peribadi mungkin menyukarkan sedikit tetapi kepuasan yang diraih dari usaha individu itu sendiri amat memuaskan hati kerana kita dapat menyebarkan ilmu kepada masyarakat selain mendapat keredhaanNya....Ini adalah satu usaha fisabilillah yang mulia." Katanya, berdakwah melalui penulisan merupakan satu cara terbaik untuk mengukuhkan aqidah umat Islam dan membimbing mereka kearah satu kehidupan yang Addin. "Melalui pembacaan pelbagai genre buku dari penulis tempatan, masyarakat kita akan dapat menambah ilmu pengetahuan mereka serta memahami sesuatu keadaan dari pandangan yang berbeza." Dalam masa yang sama, Dr Muhammad Zain menjemput semua Muslimin/Muslimat untuk turut serta dalam “Satu Usaha Dakwah Yang Terulung” ini dengan memesan seberapa naskah untuk disumbangkan kemasjid dan surau-surau di kariah mereka. “Mereka boleh menyumbangkan kos senaskah @ RM50 dan buku-buku yang dipesan itu akan dihantar ke destinasinya melalui perkhidmatan penghantaran kurier.” Sebarang pertanyaan boleh hubungi/sms ke 010-4298828 dan Emel: ahmadsuffian11@yahoo.com.my Keterangan Gambar: 1. MENINGKATKAN AKIDAH ISLAM…Dr Muhammad Zain (kiri) bersama dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di pejabat Mufti di Ipoh, baru-baru ini. 2. PENGIMARAHAN MASJID…Dr Muhammad Zain (kiri) berbincang dengan Mufti Kelantan Darul Naim Dato’ Mohamad Shukri Mohamad tentang usaha memartabatkan masjid-masjid di negeri itu. 3. BERSAMA-SAMA BERDAKWAH…Dr Muhammad Zain (kiri) akan berganding bahu dengan penceramah bebas yang tersohor Datuk Dr Mahmood Zuhdi untuk menerbitkan buku-buku dakwah islamiah. 4. TERHANGAT DI PASARAN..Buku “SEJADAH” yang diharapkan dapat meningkatkan imej serta menghangatkan proses pengimarahan masjid-masjid dan surau-surau diseluruh Negara. 5. SATU USAHA DAKWAH…Bekas imam besar Masjid Bukit Aman (kiri) Ustaz Dr Abdul Salam Zain bersama Mufti Perak Darul Ridhuan Tan Sri Harussani Zakaria (tengah) dan penulis Dr Muhammad Zain dalam perbincangan dipejabat mufti negeri baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment